Tuesday, April 6, 2010

Membina Keyakinan dalam Diri


Suasana Gerai Unit Akademik Karangkraf semasa Karnival Karangkraf 29 Januari-2 Februari 2010

Jam 8.30 pagi tadi dua orang staf Unit Akademik Karangkraf(UAK)Naimah dan Husna bertolak ke Sandakan, Sabah menaiki pesawat MAS. Sebagai ketua saya dapat merasakan betapa gembira, betapa bahagia dan betapa seronoknya mereka kerana berpeluang ke Negeri Di Bawah Bayu dengan menaiki kapal terbang. Dan sesungguhnya peluang keemasan ini tidak diperoleh oleh semua insan atau rakan-rakan wartawan yang lain. Malah ada yang telah bertahun-tahun bekerja masih belum berpeluang menaik kapal terbang! Mungkin belum rezeki mereka.

Pengalaman saya sendiri sewaktu menjadi Editor Dewan Masyarakat ketika diminta oleh Ketua Pengarang, Encik Abdul Jalil Ali ke Sabah untuk mengikuti program Kembara Media 2003 Kuala Lumpur-Sabah dari 11-15 Julai masih basah dalam ingatan. Destinasi yang saya tujui ialah Sandakan, Tawau, Semporna, Pulau Mabul dan Pulau Sipadan. Satu peluang keemasan yang amat dinanti-nanti dan saya dambakan selama ini. Saya merasakan itu satu penghargaan dan penghormatan buat diri saya.

Sabah yang dipisahkan dengan Semenanjung oleh Laut China Selatan memang negeri yang unik. Kedamaian dan kehijauan flora dan faunanya masih segar terpelihara. Pengalaman rombongan kami menaiki bas dari Sandakan selama hampir lapan jam merentasi hutan Sabah, melalui Lahad Datu, menyaksikan masyarakat peribumi Sabah seperti Kadazan, Dusun, Bajau, Murut dan sebagainya sebelum sampai ke Semporna seolah-olah baru semalam berlalu. Bak kata pepatah, "Tak kenal maka tak cinta, jiwa saya begitu damai berada di negeri yang dulunya disebut Borneo Utara, menghirup udara segar dan dingin, menyaksikan kebesaran Allah. Begitu mahal pengalaman yang dilalui. Sesungguhnya di negara kita masih banyak tempat-tempat menarik yang masih terpelihara yang boleh kita kunjungi.

Prinsip saya, jika kita hendak diri kita dihargai, maka kita perlu menghargai orang lain. Saya menghargai komitmen dan kesungguhan yang diberikan oleh anak-anak buah yang berada di bawah seliaan saya. Kita perlu melihat dengan mata hati komitmen, kesungguhan dan pengorbanan mereka dalam memajukan Unit kami. Kita perlu memberi penilaian dan penghargaan yang sewajarnya kepada mereka. Dan yang paling utama kita perlu memberi dan menaruh keyakinan terhadap kemampuan mereka. Kita beri ruang dan peluang untuk mereka bergelanggang. Kita pantau dan selia mereka dengan bijaksana. Kita berikan idea-idea bernas bagi melicinkan pergerakan mereka. Yakinlah, dengan keyakinan yang ada pada diri, mereka akan memberikan sumbangan yang lebih pada perjuangan yang mereka dukung...

No comments:

Post a Comment