Monday, April 12, 2010

Kata-kata Hikmah Untuk Renungan

Abdullah Bin Masud
1. Orang yang berbahagia itu ialah orang yang mengambil pengajaran daripada orang lain.

Abdullah Ibnu Abbas
1.ilmu itu didapati dengan lidah yang gemar bertanya dan akal yang suka berfikir

Abu Bakar Al-Warraq
1. Peliharalah benar-benar apa yang ada antara engkau dan Allah Taala dan kasih saya akan apa yang ada antara engkau dan makhluk

Kenangan Manis Zaman Remaja





Hargailah Masa Remajamu

Sesungguhnya, setiap pengalaman yang kita lalui itu begitu berharga. Hanya kita sendiri yang dapat mengambil pengajaran daripadanya. Memang pengalaman itu begitu bernilai dan tidak dapat ditukar dengan wang ringgit. Setiap orang melalui pengalaman yang berbeza. Pengalaman hidup yang dilalui itulah yang mematangkan seseorang dalam tindakannya. Amat malang dan rugilah seseorang yang membiarkan pengalaman yang dilalui berlalu begitu sahaja, tanpa diambil manfaatnya.

Dalam alam pekerjaan, seorang anak muda yang berpangkat tinggi kerana memiliki segulung ijazah dari luar negara tidak boleh berbangga dengan kelayakan yang dimiliki atau memang rendah terhadap seorang pekerja yang berpengalaman dan mahir dalam pekerjaan mereka walaupun pekerja tersebut tidak mempunyai ijazah atau sijil. Dia patut meraikan dan menghargai pekerja berpengalaman itu kerana banyak pengalaman pahit dan manis serta liku-liku yang telah dilalui berbanding dirinya yang masih mentah dengan pengalaman. Pekerja tersebut tentu telah melalui berbagai-bagai cabaran dan dugaan yang mematangkan dirinya. Di samping itu berbekalkan pengalaman yang ada, dia mampu menghadapi dan menangani setiap permasalahan yang timbul dengan matang dan tenang serta bijaksana. Anak muda itu pula, oleh sebab kurang pengalaman tentu keputusan yang dibuat hanya bersandarkan teori dan emosi semata-mata tanpa bersandarkan kewarasan, pertimbangan wajar dan budi bicara. Malah tindakan yang diambil melukan hati banyak pihak.

Menghargai Zaman Remaja
Menyentuh tentang alam remaja, pengalaman dalam alam remajalah bakal mempengaruhi sikap, tindakan, pemahaman, pemerhatian dan peribadi kita apabila kita menempuh alam dewasa kelak. Oleh sebab itu kita perlu membina asas diri, prinsip dan pandangan yang mantap dan kukuh semasa alam remaja agar ia dapat dijadikan panduan dan pegangan dalam menempuh kehidupan seharian yang pasti penuh dengan dugaan dan berliku.Tanpa panduan dan pegangan yang kukuh kita akan hanyut dibawa arus pancaroba hidup yang tidak henti-henti menguji dan menduga kita. Kadang-kadang kita dihimpit dan dikeronyok dengan pelbagai permasalahan. Kekuatan prinsip dan pegangan hidup menjadikan kita insan yang tabah menghadapi segala dugaan dan cabaran.

Oleh hargailah masa remajamu. Jangan disia-siakan walaupun sesaat. Zaman remaja adalah zaman untuk kita menimba, mencari, menggali, membongkar dan meneroka alam keilmuan dan tamadun. Sewaktu zaman remaja kita tidak dibebankan dengan tanggungjawab yang berat. Sewaktu minda kita masih segar, daya ingatan kita masih basah dan utuh serta fizikal kita masih kuat, terokai dan jelajahi alam ciptaan Allah ini dengan sepenuh jiwa.

Semasa melalui alam remaja, daya ingatan kita masih kuat dan segar. Manfaatkanlah segala kekuatan yang ada itu dengan sesuatu yang bermanfaat dan berharga. Dalamilah dan cungkillah segala ilmu pengetahuan yang ada untuk diri kita. Sewaktu remaja banyakkan membaca, menelaah dan mengkaji lautan ilmu yang tidak bertepi ini. Jadikan ia sebagai tabiat kita dan hobi kita. Jadikan otak dan akal kita sebagai gudang menyimpan khazanah ilmu yang bakal memberi manfaat kepada orang lain. Bukan sekadar menumpukan pembacaan pada buku-buku akademik semata-mata tetapi pelbagai bidang yang tidak bertentangan dengan syariat. Melalui pembacaan akan menjadikan kita seorang remaja yang punyai keyakinan diri yang mantap, yang tidak mudah digugat dan diperdaya oleh orang lain. Setiap tindakan kita melambangkan kebijaksanaan dan kecerdikan kita. Malah setiap tindakan kita penuh berhemah dan menyenangkan hati orang-orang di sekeliling kita.

Menghayati Ibadah
Ramai yang berpendapat alam remaja adalah masa untuk kita bersuka ria, bergembira dan berseronok-seronok. Sebenarnya tidak salah untuk kita bersuka ria dan berseronok-seronok namun setiap tindakan kita itu perlu ada garis sempadannya. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, oleh sebab terlalu mengejar keseronokan, kita alpa dan leka hingga membawa mudarat dan kecelakaan.

Ramai dalam kalangan remaja kita yang beranggapan usia mereka masih muda, jadi mereka sering mengabaikan ibadah terutamanya solat. Ramai yang berpendapat dan beranggapan, bila tua nanti baru hendak solat. Namun sedarkah kita adakah kita akan hidup sampai tua. Adakah usia muda satu jaminan kita tidak akan mati muda? Berdasarkan pengalaman saya sendiri, ramai rakan-rakan sekelas yang telah pergi dalam usia yang muda. Bagaimana kalau Allah memanggil kita menghadapnya dalam keadaan kita tidak bersedia. Sanggupkah kita menghadapi dan melaluinya?

Berdasarkan pergaulan, banyak rintihan dan luahan rasa yang saya dengar dan diceritakan kepada saya. Oleh sebab mengambil ringan soal agama khususnya solat sewaktu remaja, ada yang meluahkan rasa kesal dan sedih kerana mereka begitu daif tentang agama. Kadang kala terselit rasa penyesalan dalam diri nasib yang melanda mereka. Namun begitu, masih belum terlambat kerana mereka masih ada kesedaran tentang kekurangan diri. Yang menyedihkan lagi, ramai yang masih leka dan hanyut dengan nikmat dunia. Semoga Allah mengurniakan hidayah dan memberi keinsafan sebelum mereka menutup mata.

Said Hawa dalam kitab al-Asas fit Tafsir ada menyebut, “Kebiasaannya golongan yang mudah menerima seruan untuk melakukan islah atau perbaikan dalam masyarakat. Hal ini disebabkan oleh fitrah mereka masih sejahtera dan jiwa mereka lebih bersedia untuk menerima kebenaran.

Tuesday, April 6, 2010

Membina Keyakinan dalam Diri


Suasana Gerai Unit Akademik Karangkraf semasa Karnival Karangkraf 29 Januari-2 Februari 2010

Jam 8.30 pagi tadi dua orang staf Unit Akademik Karangkraf(UAK)Naimah dan Husna bertolak ke Sandakan, Sabah menaiki pesawat MAS. Sebagai ketua saya dapat merasakan betapa gembira, betapa bahagia dan betapa seronoknya mereka kerana berpeluang ke Negeri Di Bawah Bayu dengan menaiki kapal terbang. Dan sesungguhnya peluang keemasan ini tidak diperoleh oleh semua insan atau rakan-rakan wartawan yang lain. Malah ada yang telah bertahun-tahun bekerja masih belum berpeluang menaik kapal terbang! Mungkin belum rezeki mereka.

Pengalaman saya sendiri sewaktu menjadi Editor Dewan Masyarakat ketika diminta oleh Ketua Pengarang, Encik Abdul Jalil Ali ke Sabah untuk mengikuti program Kembara Media 2003 Kuala Lumpur-Sabah dari 11-15 Julai masih basah dalam ingatan. Destinasi yang saya tujui ialah Sandakan, Tawau, Semporna, Pulau Mabul dan Pulau Sipadan. Satu peluang keemasan yang amat dinanti-nanti dan saya dambakan selama ini. Saya merasakan itu satu penghargaan dan penghormatan buat diri saya.

Sabah yang dipisahkan dengan Semenanjung oleh Laut China Selatan memang negeri yang unik. Kedamaian dan kehijauan flora dan faunanya masih segar terpelihara. Pengalaman rombongan kami menaiki bas dari Sandakan selama hampir lapan jam merentasi hutan Sabah, melalui Lahad Datu, menyaksikan masyarakat peribumi Sabah seperti Kadazan, Dusun, Bajau, Murut dan sebagainya sebelum sampai ke Semporna seolah-olah baru semalam berlalu. Bak kata pepatah, "Tak kenal maka tak cinta, jiwa saya begitu damai berada di negeri yang dulunya disebut Borneo Utara, menghirup udara segar dan dingin, menyaksikan kebesaran Allah. Begitu mahal pengalaman yang dilalui. Sesungguhnya di negara kita masih banyak tempat-tempat menarik yang masih terpelihara yang boleh kita kunjungi.

Prinsip saya, jika kita hendak diri kita dihargai, maka kita perlu menghargai orang lain. Saya menghargai komitmen dan kesungguhan yang diberikan oleh anak-anak buah yang berada di bawah seliaan saya. Kita perlu melihat dengan mata hati komitmen, kesungguhan dan pengorbanan mereka dalam memajukan Unit kami. Kita perlu memberi penilaian dan penghargaan yang sewajarnya kepada mereka. Dan yang paling utama kita perlu memberi dan menaruh keyakinan terhadap kemampuan mereka. Kita beri ruang dan peluang untuk mereka bergelanggang. Kita pantau dan selia mereka dengan bijaksana. Kita berikan idea-idea bernas bagi melicinkan pergerakan mereka. Yakinlah, dengan keyakinan yang ada pada diri, mereka akan memberikan sumbangan yang lebih pada perjuangan yang mereka dukung...

Monday, April 5, 2010

Perjuanganku Bersama Unit Akademik Karangkraf



Jamuan Tengah hari buat anggota Unit Akademik Karangkraf(UAK)

Sejak aku diamanahkan sebagai Editor Pengurusan Unit Akademik Karangkraf pada bulan Jun 2009 yang lalu, terasa jalan-jalan perjuangan terbentang luas di hadapan. Dengan gabungan 4 majalah akademik e-baca, e@siswa, FOKUS SPM dan Majalah PC, menguatkan dan mengukuhkan ikatan kami untuk menyebarkan citra kecemerlangan dalam jiwa para pelajar di seluruh negara. Keazaman, kesungguhan, keikhlasan dan komitmen - modal dalam menggerakkan perjuangan kami. Setiap ceruk rantau akan kami jelajahi.

Alhamdulillah, esok 2 tenaga penggerak UAK iaitu Nurul Husna Che Rus dari e@siswa dan Naimah Muhammad dari FOKUS SPM akan berangkat ke Sandakan, Sabah untuk tugasan di samping menemui para pelajar dari SMK Elopura dan SM Sung Siew bagi mempromosikan majalah-majalah akademik bermutu terbitan Karangkraf. Agar dengan itu bukan sahaja para pelajar di Semenanjung dapat menggenggam kecemerlangan malah rakan-rakan mereka di Sabah dan Sarawak juga dapat menikmati dan merasai sinar kecemerlangan. Insya-Allah.

WARNA-WARNI JEPUN.




*Bergambar kenangan dengan rakan-rakan serombongan di sebuah rumah tradisional Jepun 10 km dari bandaraya Tokyo.
*Bersama teman rapat di Jepun, Hiroshi Hamada San di hotel penginapan di Shiodome, Tokyo.

Kita sering berbangga kerana kita beragama Islam. Pada masa yang sama perangai dan kelakuan kita tidak menggambarkan watak dan akhlak sebagai seorang Islam.

Apabila berpeluang ke Jepun saya berpeluang melihat sendiri dengan mata dan hati sikap, perangai dan perwatakan orang Jepun. Mereka begitu menghormati tetamu yang datang ke tempat mereka. Senyuman tidak lekang dari bibir mereka. Malah apabila saya dan rombongan berkunjung ke Yakult HQ di Tokyo, dari para pekerja dari peringkat bawah hingga ke Lembaga Pengarah begitu menghargai dan menghormati tetamu. Sambil menundukkan badan, ucapan Arigato Gonzaimas tidak lekang dari bibir mereka.

Ini yang menyebabkan hati saya tertawan dengan sikap masyarakat Jepun. Mereka memiliki teknologi dan kemakmuran. Namun mereka gersang dengan akidah ketuhanan. Saya percaya jika dakwah dilakukan sungguh-sungguh, mereka mudah menerima hidayah. Dan tidak mustahil mereka lebih baik daripada kita...

Saturday, April 3, 2010

Kembara Jepun : Mengenali Budaya Menyelusuri Tamadun




Jauh berjalan luas pemandangan.
Peluang yang diberikan oleh pihak pengurusan Karangkraf kepada saya untuk mengikuti lawatan kerja ke Jepun merupakan suatu pengalaman berharga yang tidak dapat diniliai dengan wang ringgit hatta intan permata. Perjalanan hampir 10 hari ke beberapa bandar raya di negara matahari terbit bukan sekadar menyingkap kemajuan dan kemakmuran tetapi hati budi mereka di sebalik kemajuan yang dijulang. Manusia walau di mana mereka berada tetap ada hati dan perasaan utk saling menghormati dan menyayangi sesama insan.

Sejak di bangku sekolah lagi saya memang berminat untuk mengetahui dengan lebih dekat tentang negara Jepun. Perjalanan dan pengembaraan ke beberapa bandar raya di negara matahari terbit ini bukan sekadar menyingkap kemajuan dan kemakmuran tetapi berjaya menyingkap nilai kasih sayang yang ada dalam hati sanubari mereka.

Isteri dan anak-anak menghantar saya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pada hari Sabtu tanggal 26 September 2009. Jam 12.00 tengah malam, saya berlepas ke Jepun dengan Japan Airline (JAL) menaiki pesawat Boeing 767-300. Turut serta dalam rombongan ini ialah Pengurus Perhubungan Awam Yakult, Mazlyn Meena, beberapa orang wartawan akhbar tempatan dan seorang pakar pemakanan.

Bangun daripada Keruntuhan
Jika kita menyusuri sejarah, rakyat Jepun mengalami tragedi hitam apabila bandar raya Hiroshima dan Nagasaki dibom oleh tentera Amerika Syarikat dalam Perang Dunia Kedua pada tahun 1945 yang menyebabkan Jepun menyerah kalah dalam perang ini. Kesan pengeboman ini menyebabkan ramai rakyat Jepun terbunuh dan menderita akibat kesan sampingan bom nuklear tersebut. Penderitaan tersebut berlanjutan hingga kini.

Mendarat di Bumi Matahari Terbit
Saya tidak dapat melelapkan mata dalam perjalanan selama enam jam itu. Gembira campur berdebar-debar. Pada jam 6.41 pagi waktu Tokyo bersamaan 5.41 pagi waktu Malaysia, pesawat selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita. Kedamaian begitu terasa sewaktu mendarat di bumi sakura ini pada pagi yang hening itu. Selepas selesai pemeriksaan kastam, kami bertolak ke Shiodome dengan menaiki bas, Tokyo. Perjalanan ke hotel mengambil masa sejam. Jalan raya begitu tenang dan lancar. Pemandangan yang menghijau dapat dilihat di kiri kanan jalan. Dan yang pasti bandar raya Tokyo begitu memukau dan bersih!

Hotel Villa Fontaine, tempat kami menginap begitu strategik kedudukannya. Ia terletak berhampiran stesen transit Shiodome, ibu pejabat Shiseido, jenama kosmetik terkenal dan ibu pejabar Dentsu, syarikat pengiklanan terbesar di Jepun.
Selepas membersihkan diri, saya dan rakan-rakan memulakan langkah bersiar-siar sekitar bandar raya Tokyo. Cuaca pagi begitu nyaman dengan suhu 18 darjah selsius. Langit masih berkabus segar. Kami yang begitu teruja menyaksikan reka bentuk bangunan Dentsu yang mengagumkan tidak melepaskan peluang bergambar berlatar belakang bangunan tersebut.

Kami singgah di Don.K, sebuah kedai diskaun yang terletak berhampiran. Pelbagai barang keperluan yang dijual di situ dengan harga yang sungguh berpatutan. Yang mengagumkan saya, petugas di kaunter tidak lokek melemparkan senyuman dan tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada pelanggan. Basikal turut dijual di kedai ini bagi keperluan pengguna. Saya sempat melihat seorang pemuda membeli basikal. Mereka juga tidak berasa malu berbasikal. Walaupun Tokyo sebuah bandar raya metropolitan yang pesat, ramai penduduknya masih menggunakan basikal. Malah ruang disediakan untuk penunggang basikal.

Saya dapati kepesatan pembangunan di Jepun tidak mengorbankan nilai-nilai murni rakyatnya. Mereka masih tahu menghormati undang-undang. Para pemandu begitu mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak memandu sesuka hati. Di sini tidak kedengaran pemandu membunyikan hon seperti di negara kita.

Rakyat Jepun juga begitu menitikberatkan kebersihan. Sepanjang sembilan hari di bumi sakura ini hati saya dijentik rasa terharu kerana persekitaran yang bersih di kaki lima jalan, pusat membeli belah, kawasan perumahan dan taman-taman bunga.

Ginza- Pusat Beli Belah Tersohor
Saya menyusuri jalan di Shiodome dalam kedinginan pagi. Pelbagai reka bentuk bangunan yang saya lihat di sini. Selepas 15 minit berjalan kami tiba di Ginza, pusat membeli belah termahal di Tokyo.

Ginza terletak dalam daerah Chuo di Tokyo. Di sini terdapat pelbagai gedung membeli belah terkemuka, butik restoren dan coffee house. Pelbagai jenama terkemuka seperti Chanel, Louis Vuitton dan Gucci terpampang megah.
Kedai-kedai berjenama antarabangsa seperti Mont Blanc, Swaroski, Uni Qlo turut terdapat di sini. Tidak kurang juga syarikat terunggul Jepun, Matsuzakaya dan Tasakhi. Lorong untuk pejalan kaki yang luas dan panjang mengingatkan saya pada Jalan Tunku Abdul Rahman. Lorong tersebut dihias indah dengan deretan pokok-pokok bunga dan pepohon pine yang kehijauan.

Pada jam 10.00 pagi setiap hari Ahad jalan di Ginza ditutup untuk kemudahan orang ramai. Malah kerusi diletakkan di tengah-tengah jalan untuk orang ramai melepaskan lelah. Saya tidak melepaskan peluang duduk di situ melihat gelagat warga Tokyo yang sentiasa berpakaian kemas dan begitu menjaga penampilan mereka bertali leher dan berkot.

Restoren Rasa di Ginza
Pada pagi 27 September, saya dan rombongan seramai sembilan orang bersiar-siar di Ginza, pusat beli belah yang termahal dan tersohor di Tokyo. Setelah puas berjalan badan berasa letih. Perutpun mula berbunyi. Kami pun mula mencari tempat makan. Kebetulan, Pengurus Perhubungan Awam Yakult Malaysia Sdn Bhd, Mazlyn Meena sudah dua kali sampai ke Tokyo. Lantas, beliau membawa kami ke satu lorong di tengah-tengah Ginza untuk mencari restoren halal. Bagi wartawan bangsa Cina mereka tidak menghadapi masalah untuk mencari tempat makan berbanding kami yang beragama Islam.
Saya, Mazlyn dan Sadatul Mahiran dari Utusan naik ke tingkat lapan sebuah bangunan. Terdapat sebuah restoren – Rasa yang menghidangkan menu dari Malaysia dan Singapura. Beberapa orang pelanggan Jepun sedang menikmati hidangan mereka. Setelah mendapat pengesahan pekerja di situ bahawa restoren tersebut menghidangkan makan halal, kami pun mencari tempat duduk. Restoren ini yang sederhana besarnya dihiasi dengan poster dan banting Tourism Malaysia yang memaparkan tempat-tempat menarik di Malaysia. Di samping itu kain-kain rentang bercop batik digantung bagi menyerikan suasana. Petugas wanitanya pula berkebaya batik. Kami memesan nasi goreng, sambal udang petai dan kangkung goreng. Di restoren ini juga ada menyediakan sate dan pelbagai jenis mee untuk para pelanggan.

Keenakan juadah yang dipesan menyebabkan kami terasa seperti berada di negara sendiri. Saya sempat berbual dengan tukang masak berbangsa Cina bernama Tam Yun Yang. Berasal yang berasal dari Kedah berkata, restoren ini mendapat sijil halal daripada Pertubuhan Islam Jepun. Restoren ini mendapat bekalan daging lembu dan kambing dari pembekal di New Zealand. Menurut Tan lagi, pegawai-pegawai Kedutaan Malaysia di Tokyo juga sering mengadakan program di situ.

Bagi anda yang berkesempatan melancong ke Tokyo dan membeli belah di Ginza, anda tidak akan menghadapi masalah makanan halal apabila datang ke sini.

Harajuku- Syurga Remaja Jepun
Pada tengahari Ahad 27 September 2009, selepas menikmati hidangan tengah hari di sebuah restoren di Ginza, saya dan rakan-rakan menaiki teksi menuju ke Harajuku. Saya sering terbaca mengenai gelagat dan kerenah remaja Jepun di Harajuku dalam majalah dan akhbar tempatan. Perjalanan ke sini mengambil masa kira-kira 15 minit. Harajuku terletak di antara Shinjuku dan Shibuya. Semasa tiba di di Harajuku saya menyaksikan satu suasana yang tidak pernah saya saksikan di Malaysia. Turun sahaja dari teksi saya lihat remaja Jepun berjalan berpasang-pasangan dan berkumpulan menuju ke suatu destinasi ibarat “lebah keluar dari sarang”. Suasana sedemikian tidak pernah saya saksikan di Kuala Lumpur atau tempat-tempat lain di negara ini.

Harajuku terletak di antara Shinjuku dan Shibuya. Antara mercu tanda di sini ialah ibu pejabat NHK (stesen penyiaran Jepun, Meiji Shrine dan Yoyogi Park. Kawasan ini mempunyai dua pusat beli-belah utama Omotesando dan Takeshita Street yang menawarkan pelbagai bentuk dan corak fesyen remaja. Tidak ketinggalan kedai-kedai makanan segera dan pusat hiburan.

Harajuku merupakan daerah beli belah yang terbesar yang meliputi rekaan pereka cipta seperti Louis Vuitton, pereka cipta kelahiran Harajuku dan kedai mampu milik untuk remaja Harajuku juga ibu kota fesyen dunia dengan rekaan fesyen jalanannya yang unik. Stail fesyen jalanan Harajuku dipromosikan dalam penerbitan-penerbitan di Jepun dan antarabangsa seperti Kera, Tune, Gothic & Lolita Bible and Fruits. Ramai pereka fesyen lahir dari Harajuku dan melibatkan diri mereka dalam dunia fesyen di seantero dunia.

Walaupun saya berada di satu daerah di negara Jepun dengan warganya yang bertubuh kecil, orangnya bermata sepet atau separa sepet, berkulit kuning langsat dan berambut hitam namun yang saya lihat di situ saya seperti berada di sebuah negara Eropah atau di Amerika Syarikat. Sekali pandang kita mungkin menyangka mereka adalah remaja Barat dengan pelbagai warna rambut seperti merah, kuning keemasan dan perang. Fesyen pakaian mereka pula begitu outstanding dengan remaja perempuannya memakai skirt pendek atau berseluar pendek para paha dengan berkasut but paras lutut.
Pada setiap hari minggu golongan remaja berbondong-bondong ke sana dengan pelbagai gaya dan rupa berpakaian gothic lolita, visual kei dan decora seharian menghabiskan masa. Mereka akan berhimpun di Jingu Bridge, jambatan yang menghubungkan Harajuku dengan kawasan Meiji Shrine.

Saya mengandaikan remaja Jepun mengalami kejutan budaya akibat pengaruh Barat. Mereka sudah kehilangan identiti dan jati diri. Mereka terikut-ikut dengan budaya Barat kerana pegangan agama yang rapuh. Budaya berfoya-foya dan bersuka ria kini menyelubungi mereka hingga menimbulkan kebimban dalam kalangan generasi tua di Jepun. Mereka juga menjauhkan diri daripada agama dan tidak berpegang kepada mana-mana pegangan agama. Kuil-kuil di Jepun semakin kurang dikunjungi oleh golongan remaja. Ia hanya sekadar menjadi tempat melawat oleh golongan remaja. Oleh sebab itu kejadian bunuh diri semakin menjadi-jadi dan meningkat di Jepun. Hampir setiap hari ratusan rakyat Jepun khususnya remaja membunuh diri. Hal ini diluahkan oleh warga veteran yang sempat saya temui. Kejadian bunuh diri semakin meningkat kerana kekosongan jiwa. Mereka yang kebanyakannya tidak berpegang kepada mana-mana agama mengambil jalan singkat dengan membunuh diri apabila buntu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Yakult Membentuk Generasi yang Sihat
Pada hari esoknya bersamaan hari Isnin bermula seminar yang dianjurkan oleh pihak Yakult Honsha Co Ltd. Pengarah Jualan dan Pemasaran Yakult Malaysia, Encik Hiroshi Hamada sudah menanti kami bersama Encik Kazihuko Arai, kakitangan Yakult di Tokyo Kami hanya berjalan kaki kira-kira 10 minit ke Ibu Pejabat Yakult yang terletak tidak jauh daripada hotel penginapan kami.
Apabila masuk sahaja ke ibu pejabat Yakult, sambutan mesra diberikan oleh kakitangannya. Daripada pengawal, penyambut tetamu dan pengurusan tertinggi Yakult. Dengan senyuman manis, mereka mengucapkan “Arigato Gonzaimas” yang bermakna “apa khabar” di samping menundukkan kepala mereka. Saya rasa terharu dengan sambutan mesra yang diberikan.

Yakult yang memulakan operasinya pada tahun 1955 adalah syarikat pengeluar produk minuman berasaskan probiotik yang terkemuka di dunia. Ia diasaskan oleh Dr. Minoru Shirota, dari Nagano, Jepun, seorang doktor perubatan dari Universiti Kyoto. Beliau menemui sejenis bacteria asid laktik iaitu lactobacillus casei yang dapat memberi kebaikan kepada kesihatan manusia pada tahun 1933. Beliau merupakan penyelidik utama bidang mikrobiologi dan pengasas probiotics di dunia. Yakult mula diperkenalkan di pasaran pada tahun 1935. Nama Yakult berasal dari perkataan Esperanto(Latin) yang bermakna yogurt.

Yakult Honsha mengeluarkan pelbagai jenis produk yang meliputi pemakanan pesakit darah tinggi), Joie, Sofuhl LCS100 dan Purela, Kosmetik (Advanced Parabio Series Skin Care- untuk kecantikan wanita serta produk Farmaseutikal(untuk mengubati kanser).

Sehingga kini produk Yakult terdapat di 31 negara dan mempunyai kira-kira 200 cawangan di dunia meliputi benua Asia, Amerika dan Eropah. Pada tahun 2008 hasil jualan produk Yakult di seluruh dunia mencecah 293.5 bilion yen.
Kunjungan ke Yakult Central Institute for Microbiological Research (Yakult Institute).

Pada hari berikutnya kami melawat ke Yakult Institute di Kunitachi-Sin, Tokyo. Pusat penyelidikan yang mempunyai seramai 250 orang penyelidik ini dibuka pada April 1955. Ia berperanan dalam menjalankan penyelidikan berkaitan produk makanan, farmaseutikal dan kosmetiks.

Semasa berkunjung ke sini, rombongan kami sempat melihat dengan lebih dekat rumah tradisional Jepun. Rumah tradisional ini begitu luas, terjaga rapi dengan kayunya yang masih utuh. Yang uniknya rumah ini mempunyai atap daripada jerami padi yang menjadikan rumah ini sentiasa sejuk dan selesa berada di dalamnya. Berhampiran kawasan rumah ini terdapat sawah padi masyarakat Jepun dan ladang pokok pisang kaki.

Tiada Kantin di Nishikasai Elementary School
Dalam rintik-rintik hujan, pada pagi Rabu 30 September kami menuju ke Nishikasai Elementary Schools. Perjalanan mengambl masa sejam. Kami terpaksa dengan bertukar tren sebanyak dua kali dari Stesen Shiodome ke Stesen Nishikasai. Kami berjalan selama 10 minit sebelum sampai ke sekolah yang mempunyai 680 orang murid (20 kelas) dan 48 orang kakitangan termasuk guru dan kakitangan am.
Keunikan sekolah-sekolah rendah di Jepun ialah tiada disediakan kemudahan kantin atau kafetaria. Murid-murid juga tidak dibenarkan membawa wang saku ke sekolah.
Pada setiap hari persekolahan mereka akan makan tengah hari bersama-sama di kelas, di dewan makan ataupun di taman. Semasa sesi lawatan kami pada hari itu, menunya ialah nasi dan ikan, sayur lobak, sup sayur, buah lai dan susu.
Makanan itu diletakkan di dalam bekas-bekas aluminium. Sebelum menghadapi hidangan, semua murid mesti membasuh tangan. Beberapa orang murid ditugaskan mengendalikan pengagihan makanan dengan memasukkan ke dalam mangkuk dan dulang. Mereka perlu memakai penutup kepala dan penutup mulut. Terdahulu, guru-guru mengajar murid tatatertib di meja makan dan berkelakuan baik ketika makan. Mereka juga perlu menghabiskan makanan yang dihidangkan.

Selesai menghadapi makanan, murid-murid ini membantu mengemas bekas-bekas makanan, memasukkan lebihan makanan ke dalam bekas dan membawanya ke dapur. Keistiewaan program ini ialah murid-murid didedahkan dengan kepentingan keseimbangan diet dan tata tertib dan adab semasa makan.

Menurut Pengetua sekolah, Kimiko Yabe beberapa kriteria diambil kira dalam penyediaan menu makan tengah hari iaitu makanan tersebut mengandungi kekacang, kentang, daging, ikan, dan sayuran supaya murid-murid mendapat mendapat nutrien yang diperlukan.

Dari segi menu sekolah akan memastikan murid-murid mendapat tiga hari nasi putih, satu hari roti dan satu hari mi. Dalam program ini menetapkan murid-murid mendapat 1/ 3 nutrien sehari daripada makan tengahari dan sekurang-kurangnya separuh kalsium dan vitamin.Ibu bapa perlu membayar sebanyak 2,660 yen (RM106.40) sebulan untuk seorang dan selebihnya disubsidi oleh kerajaan. Pembayaran perlu dibuat di pejabat pos atau bank.

Operasi Wanita Yakult di Chiba
Saya dan rombongan juga berpeluang ke daerah Chiba yang terletak di pinggir bandar raya Tokyo untuk melihat aktiviti yang dijalankan di Pusat Wanita Yakult. Kini terdapat seramai 41, 483 orang wanita Yakult di Jepun. Wanita Yakult dianggap sebagai penggerak utama kejayaan Yakult Honsha Co. Ltd.

Di seluruh Jepun terdapat 2,599 Pusat Wanita Yakult manakala di Chiba sahaja terdapat 119. Pusat wanita yang kami kunjungi terletak di bawah pengurusan Yakult Keio Sales (YKS). Terdapat 23 pusat wanita di bawah YKS. Ia terbahagi pula kepada lima kumpulan. Pusat wanita ini berada dalam kumpulan empat. Seramai 15 orang wanita berkhidmat di pusat ini.

Produk-produk keluaran Yakult diedarkan dari rumah ke rumah oleh suri-suri rumah yang mendaftar dan mendapat latihan intensif daripada Yakult. Program yang diperkenalkan pada tahun 1963 ini bertujuan memberi peluang kepada suri rumah di Jepun mendapatkan pendapatan tambahan dan menambah sumber pendapatan bagi meringankan beban keluarga.

Wanita Yakult ini menghantar produk kepada pelanggan mereka menggunakan basikal elektrik dari hari Isnin hingga Sabtu bermula jam 8.30 pagi hingga jam 3.00 petang. Setiap hari mereka perlu menziarahi sekurang-kurangnya 45-60 buah rumah dan menjual sebanyak 200 botol sehari. Dalam sebulan mereka boleh meraih pendapatan sehingga RM3,200.

Melelong Ikan Tuna di Tsukiji Market
Jika dilihat dari luar, Pasar Tsukiji sama seperti pasar borong Selayang dan pasar-pasar borong di negeri lain. Kita dapat lihat deretan lori dan van yang terdapat di luar pasar. Namun setelah kita menyusuri ke dalam kawasan pasar kita akan dapat lihat sendiri keunikan pasar borong ini.

Pasar Tsukiji terletak kira-kira 100 meter dari hotel pemginapa kami. Pasar Tsukiji adalah pasar borong berpusat yang terbesar di Jepun. Pasar borong ini telah beroperasi ratusan tahun sejak zaman pemerintahan Maharaja Meiji lagi. Pasar ini merupakan pasar borong utama yang membekalkan ikan-ikan segar dan makanan laut ke seluruh restoren di bandar raya Tokyo.

Semasa berkunjung ke pasar borong terunggul di Tokyo ini pada pagi Rabu, kami berpeluang melihat satu aktiviti iaitu proses melelong ikan tuna atau tongkol. Uniknya di sini ialah saiz ikan-ikan itu berlipat kali ganda besar dibandingkan dengan ikan-ikan tongkol yang terdapat di negara kita.

Ikan-ikan tuna yang baru ditangkap diletakkan di atas lantai. Tukang lelong yang memegang loceng akan mula melakukan lelongan. Sesiapa yang dapat memberikan harga yang terbaik akan mendapat ikan tersebut.

Ikan tuna adalah ikan yang paling digemari oleh masyarakat Jepun. Malah ikan ini menjadi pilihan utama di restoren-restoren untuk membuat sushi, makanan tradisional Jepun yang terkenal di seluruh dunia. Ikan-ikan tongkol itu dipotong menggunakan mesin yang canggih sebelum diedarkan ke restoren-restoren.

Di pasar ini juga terdapat satu ruang untuk para pelancong mengambil gambar. Saya dapati ramai pelancong yang datang untuk mengambil gambar proses melelong ikan tongkol. Namun mereka tidak dibenarkan menggunakan flash.

Upacara Minum Teh
Masyarakat Jepun juga kaya dengan adab dan tatasusila yang diwarisi sejak turun temurun iaitu adab meminum teh. Saya berpeluang menghadiri upacara minum teh di Hama-Rikyu Garden. Taman ini yang dibuka pada zaman Pemerintahan Edo ( Abad ke-17-19Masehi) satu-satunya taman warisan diraja yang masih kekal di Tokyo. Taman ini dibina sebagai penempatan untuk Japanese Feudal Lord pada kurun ke-17. Kemudian taman ini dijadikan medan memburu itik pada era Shogun Tokugawa.

Taman seluas 250,215 meter persegi yang dibuka kepada orang ramai secara rasmi pada 1 April 1946 ini mempunyai pelbagai jenis pohon-pohon yang akan berbunga mengikut empat musim di Jepun iaitu black pine, maple Jepun, cherry Jepun, zaitun, lili dan sebagainya.

Saya dan rombongan menghadiri upacara minum teh di sebuah rumah teh yang dipanggil Nakajima-no-ochaya. Rumah teh ini mula dibina pada tahun 1707 pada zaman pemerintahan Shogun. Ia digunakan untuk tempat berehat dan bersantai pembesar dan pegawai-pegawai kerajaan.

Upacara minum teh dijalankan dengan tertib sekali. Mereka perlu duduk bersimpuh dan perlu menundukkan badan apabila teh dituang ke dalam cawan. Cara makan kuih kacang berwarna ungu yang bercorak bunga maple juga begitu sopan dan tertib. Menurut pegawai yang mengiringi kami melalui adab meminum the inilah masyarakat Jepun membentuk adab dan ketertiban dalam masyarakat mereka.

Menyaksikan Permainan Baseball.
Semasa di Tokyo saya berpeluang menyaksikan permainan baseball, permainan kegemaran masyarakat Jepun di Jinggu Stadium. Perlawanan pada malam itu adalah antara Yakult Swallow dan Tohto University Baseball League. Walaupun hujan turun rintik-rintik pada malam itu, cuaca sedemikian tidak menghalang peminat baseball membanjiri stadium. Malah orang-orang tua turut meminati permainan ini. Sorak-sorai dan tepukan gemuruh jelas kedengaran menyelubungi stadium apabila bola baseball yang dipukul tidak dapat disambut oleh pihak lawan. Tepukan dan sorak gemuruh daripada penyokong masing-masing apabila pasukan pilihan mereka mendahului pesaing masing-masing.

Tiga jam di Tokyo Disneyland
Saya turut berpeluang melawat ke Tokyo Disneyland di Urayasu, Chiba, tidak jauh dari bandar raya Tokyo. Saya ke Disneyland Tokyo dari bandar raya Yokohama. Perjalanan mengambil masa sejam.Walaupun saya hanya sempat menghabiskan masa selama tiga jam di sini, namun peluang dan pengalaman yang dilalui begitu berharga dan bermakna. Semasa di taman tema ini saya berpeluang melihat perarakan kereta berhias oleh ikon-ikon Disneyland seperti Mickey dan Minnie Mouse, Snow White dan Seven Dawf, Nemo, dan sebagainya.

Terdapat tujuh tempat tarikan pengunjung di Tokyo Disneyland iaitu World Bazaar, Adventureland, Westernland, Fantasyland, Tomorrowland, Critter Country dan Mickey Toontown yang boleh menerima pengunjung yang ramai.

Tokyo Disney Resort yang berkeluasan 115 ekar (465 ribu meter ) dan dibuka pada tahun 15 April 1983 adalah taman tema yang popular. Tokyo Disney Resort (lebih dikenali dengan Tokyo Disneyland) adalah satu daripada cabang Disneylands antarabangsa selain Disneyland Paris (aka "Euro Disney"), dan Disneyland Hong Kong.

Dekat di Hati
Layanan mesra yang saya terima menyebabkan saya berasa seolah-olah berada di negara sendiri. Kenangan manis yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika majlis makan malam yang diadakan oleh pengurusan Yakult. Mereka melayan para tetamu dengan sebaik-baiknya demi memastikan keselesaan kami.
Saya begitu terharu dengan kemesraan serta layanan yang diberikan oleh Mr. Mikiya Watanabe, Timbalan Pengurus Besar Yakult International Business Dept. Beliau yang pernah berkunjung ke negara ini sekitar tahun 90-an melayan saya seperti seorang ayah terhadap anaknya. Beliau tidak jemu-jemu menuangkan air ke dalam gelas saya dan memasukkan makanan ke dalam pinggan saya. Mr Watanabe bercerita tentang masalah yang melanda remaja Jepun masa kini serta meluahkan kebimbangan terhadap fenomena yang berlaku. Malah ketika bergambar beliau merangkul bahu saya dengan mesra ibarat pertemuan mesra dengan seorang kawan lama yang baru ditemui!

Menaiki Shinkansen Ke Kyoto
Kenangan paling manis di Jepun ialah kesempatan menaik Shinkansen, sebuah kereta api laju yang lebih dikenali dengan bullet train. Kereta api ini boleh bergerak sejauh 400 km dengan hanya mengambil masa selama dua jam. Tiket untuk menaiki Shinkansen ialah sebanyak 13,500 yen (RM550.00). Walaupun kereta api bergerak laju, kami begitu selesa dan tenang berada di dalamnya. Saya dapat melihat perkampungan masyarakat Jepun dan panorama indah di seluruh Jepun.
Kyoto Bandar Pelancongan

Jika suasana Tokyo begitu sibuk dengan hiruk pikuk manusia dan kemajuan yang begitu pesat, Kyoto pula sebaliknya. Saya selesa dengan suasana di Tokyo. Di bandar raya ini tidak terdapat bangunan-bangunan tinggi seperti di Tokyo. Pihak berkuasa tempatan memberi syarat bangunan yang hendak dibina tidak melebihi 11 tingkat. Di Kyoto terdapat banyak taman-taman diraja dan kuil yang berusia ratusan tahun.
Melawat Kuil Kiyomizu-Dera dan Kinkaku.

Pada hari Sabtu 3 Oktober 2009, saya dan rombongan berpeluang melawat ke kuil Kiyomizu-Dera dan Kinkaku-Ji . Kiyomizu Dera yang diiktiraf sebagai Pusat Warisan Dunia telah dibina pada tahun 778 Masehi. Kuil ini adalah kuil kedua tertua di Kyoto. Struktur bangunan yang ada sekarang telah didirikan semula oleh Iemitsu Tokugawa pada tahun 1633. Struktur bangunannya kukuh dan mantap.

Kita akan merasai ketenangan dengan kehijauan pepohon yang ada seperti pohon sakura dan maple. Sewaktu kami ke sini daun-daun mula bertukar kemerah-merahan. Juga terdapat air terjun yang tidak henti mengalir di sini. Air yang mengalir dianggap suci dan boleh memanjangkan umur, murah rezeki dan kesihatan yang baik. Dari kuil Kiyomizu juga kita akan dapat melihat panorama indah bandar raya Kyoto.

Kinkaku Buddhist Temple atau lebih dikenali dengan Golden Pavilion juga merupakan Pusat Warisan Dunia. Kuil ini telah dibina oleh Yoshimitsu Ashikaga, Shogun Muromochi yang ketiga pada 1397. Taman di sekitar kuil ini merupakan yang paling cantik di Kyoto ibarat “ taman syurga”. Pada mulanya Ashikaga hanya berjaya menyalut bahagian siling kuil ini dengan emas. Golden Pavilion telah dibina semula pada 1970 dan dilengkapkan dengan tasik buatan manusia. Pada tahun 1987 keseluruhan kuil ini telah disaluti emas berdasarkan wasiat awal Ashikaga.

Toei Uzumasa Movie Village
Toei Uzumasa Movie Village adalah sebuah studio perfileman yang memaparkan reka bentuk masyarakat dan budaya Jepun bermula dari zaman pemerintahan Edo. Bandar perfileman ini merupakan lokasi utama para pembikin filem Jepun mengadakan pengambaran untuk filem dan televisyen. Terdapat lapan studio di sini. Para pelawat yang datang akan dapat melihat sesi pengambaran di jalankan dan para pelakon memakai pakaian tradisional Jepun. Semasa melawat ke studio perfileman ini, kami berpeluang melihat demonstrasi perlawanan samurai. Malah kami berpeluang bergambar bersama mereka.

Makan Malam Perpisahan di Yoshikawa Inn Tempura
Malam sebelum berangkat pulang ke Malaysia, anggota rombongan menghadiri makan malam di Yoshikawa Inn Tempura. Tukang masak berpengalaman memasak tempura iaitu makanan laut yang disalut tepung tempura digoreng di hadapan kami. Antaranya udang, belut, dan sayur-sayuran.

Makanan dengan Mata dan Hati
Bangsa Jepun adalah bangsa yang begitu berseni dan halus jiwanya. Hal ini dapat saya saksikan dalam penyediaan makanan semasa saya mengikuti seminar di Tokyo. Makanan yang dihidangkan dalam kotak bento disusun begitu berseni dan teliti. Menurut Pro Yakult, Mazlyn Meena, makanan yang dihidangkan bukan sekadar sedap di makan tetapi perlu dihidangkan dan disediakan dan teliti dan tersusun agar sedap mata memandang. Hal ini demikian kerana makanan yang dihidangkan dengan cara demikian akan menambah selera kepada seseorang untuk menikmati sesuatu hidangan.

Kuat Bekerja
Saya dapati orang Jepun juga kuat bekerja. Sewaktu dalam perjalanan ke stesen kereta api bawah tanah ketika dalam perjalanan ke seminar Yakult di Tokyo saya lihat mereka berpusu-pusu keluar untuk bekerja. Masing-masing berjalan laju, fokus dan penuh semangat. Tidak ada masa untuk mereka bermalas-malas. Kadang-kadang mereka membaca sambil berjalan.

Di tempat kerja mereka begitu memberikan perhatian dan tumpuan pada pekerjaan. Tidak membuang masa dan tidak curi tulang. Hal ini dilakukan demi memastikan peningkatan produktiviti syarikat. Pada pagi hari mereka akan datang awal manakala pada petang harinya mereka akan balik lambat. Mereka akan rasa bersalah dengan kawan-kawan jika mereka balik cepat.

Budaya Membaca
Membaca adalah amalan murni. Rakyat Jepun adalah masyarakat yang gemar membaca. Dalam kesesakan tren, saya lihat mereka masih sempat meluangkan masa untuk membaca walaupun dalam keadaan berdiri. Di samping itu terdapat banyak kiosk yang menjual bahan-bahan bacaan di stesen bawah tanah. Hal ini merupakan faktor yang menyebabkan bangsa Jepun, satu bangsa yang paling maju di dunia.

Berangkat Pulang ke Malaysia
Setelah hampir lapan hari di bumi matahari terbit, kami pun berangkat pulang ke Malaysia. Kami menaiki pesawat JAL dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai di Osaka.

Sepanjang berada di sini pihak penganjur memberikan layanan yang terbaik kepada kami. Rakyat Jepun begitu prihatin dengan para tetamu dan mereka berusaha melayan kami sebaik mungkin. Saya tidak menghadapi masalah makanan halal semasa mengikuti beberapa seminar di sini. Malah, yang menyebabkan saya begitu terharu ialah mereka begitu menjaga dan mengingatkan kami tentang waktu solat agar tidak terlepas, menyediakan bilik untuk bersolat dan menyediakan kelengkapan untuk berwuduk!
Sesungguhnya pengalaman manis di Jepun merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang hayat. Walaupun kemodenan dan teknologi mereka tinggi namun budi bahasa mereka tetap subur dan mekar dalam kehidupan mereka.

Sesungguhnya kemesraan yang diterima sepanjang berada di bumi Sakura membuktikan bahawa fitrah manusia itu subur dengan kasih sayang. Ya Allah sungguh agung ciptaan-Mu!