Monday, April 12, 2010

Hargailah Masa Remajamu

Sesungguhnya, setiap pengalaman yang kita lalui itu begitu berharga. Hanya kita sendiri yang dapat mengambil pengajaran daripadanya. Memang pengalaman itu begitu bernilai dan tidak dapat ditukar dengan wang ringgit. Setiap orang melalui pengalaman yang berbeza. Pengalaman hidup yang dilalui itulah yang mematangkan seseorang dalam tindakannya. Amat malang dan rugilah seseorang yang membiarkan pengalaman yang dilalui berlalu begitu sahaja, tanpa diambil manfaatnya.

Dalam alam pekerjaan, seorang anak muda yang berpangkat tinggi kerana memiliki segulung ijazah dari luar negara tidak boleh berbangga dengan kelayakan yang dimiliki atau memang rendah terhadap seorang pekerja yang berpengalaman dan mahir dalam pekerjaan mereka walaupun pekerja tersebut tidak mempunyai ijazah atau sijil. Dia patut meraikan dan menghargai pekerja berpengalaman itu kerana banyak pengalaman pahit dan manis serta liku-liku yang telah dilalui berbanding dirinya yang masih mentah dengan pengalaman. Pekerja tersebut tentu telah melalui berbagai-bagai cabaran dan dugaan yang mematangkan dirinya. Di samping itu berbekalkan pengalaman yang ada, dia mampu menghadapi dan menangani setiap permasalahan yang timbul dengan matang dan tenang serta bijaksana. Anak muda itu pula, oleh sebab kurang pengalaman tentu keputusan yang dibuat hanya bersandarkan teori dan emosi semata-mata tanpa bersandarkan kewarasan, pertimbangan wajar dan budi bicara. Malah tindakan yang diambil melukan hati banyak pihak.

Menghargai Zaman Remaja
Menyentuh tentang alam remaja, pengalaman dalam alam remajalah bakal mempengaruhi sikap, tindakan, pemahaman, pemerhatian dan peribadi kita apabila kita menempuh alam dewasa kelak. Oleh sebab itu kita perlu membina asas diri, prinsip dan pandangan yang mantap dan kukuh semasa alam remaja agar ia dapat dijadikan panduan dan pegangan dalam menempuh kehidupan seharian yang pasti penuh dengan dugaan dan berliku.Tanpa panduan dan pegangan yang kukuh kita akan hanyut dibawa arus pancaroba hidup yang tidak henti-henti menguji dan menduga kita. Kadang-kadang kita dihimpit dan dikeronyok dengan pelbagai permasalahan. Kekuatan prinsip dan pegangan hidup menjadikan kita insan yang tabah menghadapi segala dugaan dan cabaran.

Oleh hargailah masa remajamu. Jangan disia-siakan walaupun sesaat. Zaman remaja adalah zaman untuk kita menimba, mencari, menggali, membongkar dan meneroka alam keilmuan dan tamadun. Sewaktu zaman remaja kita tidak dibebankan dengan tanggungjawab yang berat. Sewaktu minda kita masih segar, daya ingatan kita masih basah dan utuh serta fizikal kita masih kuat, terokai dan jelajahi alam ciptaan Allah ini dengan sepenuh jiwa.

Semasa melalui alam remaja, daya ingatan kita masih kuat dan segar. Manfaatkanlah segala kekuatan yang ada itu dengan sesuatu yang bermanfaat dan berharga. Dalamilah dan cungkillah segala ilmu pengetahuan yang ada untuk diri kita. Sewaktu remaja banyakkan membaca, menelaah dan mengkaji lautan ilmu yang tidak bertepi ini. Jadikan ia sebagai tabiat kita dan hobi kita. Jadikan otak dan akal kita sebagai gudang menyimpan khazanah ilmu yang bakal memberi manfaat kepada orang lain. Bukan sekadar menumpukan pembacaan pada buku-buku akademik semata-mata tetapi pelbagai bidang yang tidak bertentangan dengan syariat. Melalui pembacaan akan menjadikan kita seorang remaja yang punyai keyakinan diri yang mantap, yang tidak mudah digugat dan diperdaya oleh orang lain. Setiap tindakan kita melambangkan kebijaksanaan dan kecerdikan kita. Malah setiap tindakan kita penuh berhemah dan menyenangkan hati orang-orang di sekeliling kita.

Menghayati Ibadah
Ramai yang berpendapat alam remaja adalah masa untuk kita bersuka ria, bergembira dan berseronok-seronok. Sebenarnya tidak salah untuk kita bersuka ria dan berseronok-seronok namun setiap tindakan kita itu perlu ada garis sempadannya. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, oleh sebab terlalu mengejar keseronokan, kita alpa dan leka hingga membawa mudarat dan kecelakaan.

Ramai dalam kalangan remaja kita yang beranggapan usia mereka masih muda, jadi mereka sering mengabaikan ibadah terutamanya solat. Ramai yang berpendapat dan beranggapan, bila tua nanti baru hendak solat. Namun sedarkah kita adakah kita akan hidup sampai tua. Adakah usia muda satu jaminan kita tidak akan mati muda? Berdasarkan pengalaman saya sendiri, ramai rakan-rakan sekelas yang telah pergi dalam usia yang muda. Bagaimana kalau Allah memanggil kita menghadapnya dalam keadaan kita tidak bersedia. Sanggupkah kita menghadapi dan melaluinya?

Berdasarkan pergaulan, banyak rintihan dan luahan rasa yang saya dengar dan diceritakan kepada saya. Oleh sebab mengambil ringan soal agama khususnya solat sewaktu remaja, ada yang meluahkan rasa kesal dan sedih kerana mereka begitu daif tentang agama. Kadang kala terselit rasa penyesalan dalam diri nasib yang melanda mereka. Namun begitu, masih belum terlambat kerana mereka masih ada kesedaran tentang kekurangan diri. Yang menyedihkan lagi, ramai yang masih leka dan hanyut dengan nikmat dunia. Semoga Allah mengurniakan hidayah dan memberi keinsafan sebelum mereka menutup mata.

Said Hawa dalam kitab al-Asas fit Tafsir ada menyebut, “Kebiasaannya golongan yang mudah menerima seruan untuk melakukan islah atau perbaikan dalam masyarakat. Hal ini disebabkan oleh fitrah mereka masih sejahtera dan jiwa mereka lebih bersedia untuk menerima kebenaran.

No comments:

Post a Comment